Thursday, July 9, 2009

IBU BAPA PENENTU CORAK KEHIDUPAN ANAK-ANAK

Saratok, 9 Julai - Ibu bapa perlu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak kerana ia merupakan penentu hala tuju corak kehidupan (anak-anak) pada masa yang akan datang, kata ADUN N.33 Kalaka, Abdul Wahab bin Aziz.
“Setiap ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada, dengan siapa dan apa yang mereka lakukan kerana hari ini terdapat pelbagai unsur negatif yang boleh mempengaruhi jiwa anak muda,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), dekat sini, pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Perumahan Negeri Sarawak mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak tidak membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti berfaedah.
“Kita sebagai ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak berkeliaran pada waktu malam kerana ia mengundang impak negatif terhadap personaliti dan disiplin anak-anak,” jelasnya.
Dalam ucapannya beliau menyeru agar ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya agar mereka boleh menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan Negara satu hari kelak.
“Pendidikan anak-anak perlu ditingkatkan kerana ia bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada anak-anak malah ibu bapa juga boleh tumpang gembira dengan kesenangan apabila anak-anak telah mengecap kejayaan satu hari nanti,” tambahnya.
“Sebagai ibu bapa kita perlu ubah cara berfikir dan bertindak untuk meningkatkan pendapatan keluarga dan merubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” jelasnya lagi.
Beliau juga turut menasihati agar rakyat sentiasa memanfaatkan tanah mereka untuk aktiviti pertanian kerana beliau percaya setiap penduduk di Saratok mempunyai tanah yang boleh dimajukan untuk aktiviti pertanian seperti menanam padi, nanas, mangga dan sawit.
Beliau turut menggesa rakyat agar sentiasa rajin berusaha dengan mengerjakan sawah dan berkebun, tidak terlalu memilih pekerjaan dan menepis sikap malas untuk mengubah corak hidup.
“Jangan harapkan 100 peratus pada bantuan kerajaan kerana ia hanya sampingan sahaja tetapi kita perlu berusaha lebih untuk kehidupan yang lebih sempurna,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, beliau turut melahirkan perasaan bangga dan gembira kerana ramai anak petani di Saratok yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.
Pada majlis tersebut seramai 217 orang telah menerima cek bantuan PPKB. Ia merupakan siri kelima bantuan diserahkan kepada yang layak dan memenuhi syarat.
Setakat ini seramai 532 orang yang terdiri daripada 361 orang Melayu, 117 (Iban) dan 54 (Cina) telah menerima bantuan tersebut yang melibatkan peruntukan sebanyak RM700 ribu.
Ia jelas melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Program ini dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan yang disalurkan melalui Majlis Daerah Saratok (MDS).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Saratok, Daniel Supit, Setiausaha MDS, Ignatius Jinnie Bunyau, Timbalan Pengerusi MDS, Albert Bejie Ajit, Kaunselor MDS, Tn Haji Alwi Sapali, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.

(Artikel ini telah dihantar ke Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak pada 09 Julai 2009)

No comments:

Post a Comment