Gambar menunjukkan :- Datuk Peter (dua dari kiri) menyampaikan surat kelulusan tanam semula kepada wakil peserta sambil disaksikan oleh Cik Norliza (tiga dari kiri), En. Rizal (kanan) dan D.O Daniel (dua dari kiri).
Saratok - 25 Jun :- Buang persepsi pertanian tidak mendatangkan keuntungan, demikian menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Datuk Peter Nyarok ak Penghulu Entrie.
''Industri getah mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan di Sarawak dan dijangka mempu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,'' jelas beliau.
''Penanaman getah mampu meningkatkan pendapatan para petani apabila ianya dijaga mengikut Amalan Pertanian Yang Baik,'' tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Tanam Semula (Getah) anjuran RISDA Bahagian Betong, pada 25 jun yang lalu di Dewan Masyarakat Saratok.
Dalam ucapan perasmiannya beliau turut menasihati para petani supaya membudayakan Pertanian Suatu Perniagaan untuk mencapai kejayaan.
Dengan adanya bantuan pihak RISDA para petani dapat berdikari dan berdaya saing untuk meningkatkan potensi diri. Selain itu, para petani juga dinasihati supaya memanfaatkan sepenuhnya segala bantuan pertanian dan biji benih getah yang akan diberikan nanti.
Menurut beliau, terdapat beberapa kes para petani didapati menjual baja dan racun yang diberikan secara percuma oleh jabatan-jabatan tertentu dan tindakan ini amat merugikan kerajaan dan para petani sendiri.
Tambah beliau, dengan teknologi yang ada, penanaman getah yang sebelum ini mengambil masa selama tujuh tahun untuk ditoreh dapat dikurangkan kepada empat tahun setengah sahaja.
Ini merupakan isyarat positif yang telah ditunjukkan hasil daripada kajian yang dijalankan oleh pihak RISDA.
Beliau turut mengingatkan kepada 50 peserta agar jangan meletakkan tanggungjawab projek tersebut sepenuhnya di bahu kerajaan sebaliknya mereka sendiri perlu sentiasa proaktif dan berusaha untuk mahu.
Projek Tanam Semula ini merupakan satu projek untuk jangka masa panjang dan pihak RISDA akan memberi tunjuk ajar berterusan untuk membantu para petani.
Kursus Tanam Semula yang julung kalinya diadakan itu mendedahkan para peserta tentang Pengenalan Kepada Program RISDA, Syarat-syarat Bantuan Tanam Semula dan Budaya Empat Tahun Setengah.
Hadir sama ialah wakil Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Norliza Abdul Shukor, Pegawai RISDA Bahagian Betong, Muhd Rizal Ahmad, Pegawai Daerah Saratok, Daniel Supit, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.
(Artikel ini juga telah dihantar kepada Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sarawak pada 25 Jun 2009)
No comments:
Post a Comment