Thursday, July 9, 2009

IBU BAPA PENENTU CORAK KEHIDUPAN ANAK-ANAK

Saratok, 9 Julai - Ibu bapa perlu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan memberikan perhatian sepenuhnya terhadap anak-anak kerana ia merupakan penentu hala tuju corak kehidupan (anak-anak) pada masa yang akan datang, kata ADUN N.33 Kalaka, Abdul Wahab bin Aziz.
“Setiap ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada, dengan siapa dan apa yang mereka lakukan kerana hari ini terdapat pelbagai unsur negatif yang boleh mempengaruhi jiwa anak muda,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), dekat sini, pagi tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Perumahan Negeri Sarawak mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak tidak membuang masa begitu sahaja tanpa melakukan aktiviti berfaedah.
“Kita sebagai ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak berkeliaran pada waktu malam kerana ia mengundang impak negatif terhadap personaliti dan disiplin anak-anak,” jelasnya.
Dalam ucapannya beliau menyeru agar ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya agar mereka boleh menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan Negara satu hari kelak.
“Pendidikan anak-anak perlu ditingkatkan kerana ia bukan sahaja mendatangkan kebaikan kepada anak-anak malah ibu bapa juga boleh tumpang gembira dengan kesenangan apabila anak-anak telah mengecap kejayaan satu hari nanti,” tambahnya.
“Sebagai ibu bapa kita perlu ubah cara berfikir dan bertindak untuk meningkatkan pendapatan keluarga dan merubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” jelasnya lagi.
Beliau juga turut menasihati agar rakyat sentiasa memanfaatkan tanah mereka untuk aktiviti pertanian kerana beliau percaya setiap penduduk di Saratok mempunyai tanah yang boleh dimajukan untuk aktiviti pertanian seperti menanam padi, nanas, mangga dan sawit.
Beliau turut menggesa rakyat agar sentiasa rajin berusaha dengan mengerjakan sawah dan berkebun, tidak terlalu memilih pekerjaan dan menepis sikap malas untuk mengubah corak hidup.
“Jangan harapkan 100 peratus pada bantuan kerajaan kerana ia hanya sampingan sahaja tetapi kita perlu berusaha lebih untuk kehidupan yang lebih sempurna,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, beliau turut melahirkan perasaan bangga dan gembira kerana ramai anak petani di Saratok yang berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.
Pada majlis tersebut seramai 217 orang telah menerima cek bantuan PPKB. Ia merupakan siri kelima bantuan diserahkan kepada yang layak dan memenuhi syarat.
Setakat ini seramai 532 orang yang terdiri daripada 361 orang Melayu, 117 (Iban) dan 54 (Cina) telah menerima bantuan tersebut yang melibatkan peruntukan sebanyak RM700 ribu.
Ia jelas melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat. Program ini dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan yang disalurkan melalui Majlis Daerah Saratok (MDS).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Saratok, Daniel Supit, Setiausaha MDS, Ignatius Jinnie Bunyau, Timbalan Pengerusi MDS, Albert Bejie Ajit, Kaunselor MDS, Tn Haji Alwi Sapali, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.

(Artikel ini telah dihantar ke Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak pada 09 Julai 2009)

Tuesday, July 7, 2009

MAJLIS PENYERAHAN CEK BANTUAN PROGRAM PPKB

SARATOK, 8 Julai - ADUN N.33 Kalaka, YB Encik Abdul Wahab bin Aziz akan menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Bantuan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) esok , 9 Julai, jam 09.30 pagi di Bilik Mesyuarat Perpustakaan Awam, dekat sini.
Menurut jurucakap pengelola, Encik Wan Akbaruddin Haji Wan Mahmud seramai 228 orang peserta akan menerima cek bantuan tersebut.
Tambah beliau, antara bantuan yang diterima melalui program PPKB tersebut ialah sewa rumah, kemasukan ke sekolah/Institut Pengajian Tinggi, kos pengangkutan ke sekolah, kos jagaan kanak-kanak ke taska/tadika/jiran/individu, kos pengangkutan ke tempat kerja, rawatan dialisis buah pinggang, latihan kemahiran dan ihsan.
Bantuan tersebut merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat luar bandar yang disalurkan melalui Majlis Daerah Saratok saban tahun. Justeru itu, rakyat perlu sedar betapa kerajaan begitu prihatin terhadap masalah rakyat dan sentiasa berusaha supaya rakyatnya tidak dibelenggu oleh kemiskinan.
(Artikel ini telah dihantar ke Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak pada 08 Julai 2009)

Monday, July 6, 2009

BUANG PERSEPSI PERTANIAN TIDAK MENDATANGKAN KEUNTUNGAN


Gambar menunjukkan :- Datuk Peter (dua dari kiri) menyampaikan surat kelulusan tanam semula kepada wakil peserta sambil disaksikan oleh Cik Norliza (tiga dari kiri), En. Rizal (kanan) dan D.O Daniel (dua dari kiri).
Saratok - 25 Jun :- Buang persepsi pertanian tidak mendatangkan keuntungan, demikian menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Datuk Peter Nyarok ak Penghulu Entrie.
''Industri getah mempunyai potensi yang amat besar untuk dimajukan di Sarawak dan dijangka mempu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,'' jelas beliau.
''Penanaman getah mampu meningkatkan pendapatan para petani apabila ianya dijaga mengikut Amalan Pertanian Yang Baik,'' tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Tanam Semula (Getah) anjuran RISDA Bahagian Betong, pada 25 jun yang lalu di Dewan Masyarakat Saratok.
Dalam ucapan perasmiannya beliau turut menasihati para petani supaya membudayakan Pertanian Suatu Perniagaan untuk mencapai kejayaan.
Dengan adanya bantuan pihak RISDA para petani dapat berdikari dan berdaya saing untuk meningkatkan potensi diri. Selain itu, para petani juga dinasihati supaya memanfaatkan sepenuhnya segala bantuan pertanian dan biji benih getah yang akan diberikan nanti.
Menurut beliau, terdapat beberapa kes para petani didapati menjual baja dan racun yang diberikan secara percuma oleh jabatan-jabatan tertentu dan tindakan ini amat merugikan kerajaan dan para petani sendiri.
Tambah beliau, dengan teknologi yang ada, penanaman getah yang sebelum ini mengambil masa selama tujuh tahun untuk ditoreh dapat dikurangkan kepada empat tahun setengah sahaja.
Ini merupakan isyarat positif yang telah ditunjukkan hasil daripada kajian yang dijalankan oleh pihak RISDA.
Beliau turut mengingatkan kepada 50 peserta agar jangan meletakkan tanggungjawab projek tersebut sepenuhnya di bahu kerajaan sebaliknya mereka sendiri perlu sentiasa proaktif dan berusaha untuk mahu.
Projek Tanam Semula ini merupakan satu projek untuk jangka masa panjang dan pihak RISDA akan memberi tunjuk ajar berterusan untuk membantu para petani.
Kursus Tanam Semula yang julung kalinya diadakan itu mendedahkan para peserta tentang Pengenalan Kepada Program RISDA, Syarat-syarat Bantuan Tanam Semula dan Budaya Empat Tahun Setengah.
Hadir sama ialah wakil Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Norliza Abdul Shukor, Pegawai RISDA Bahagian Betong, Muhd Rizal Ahmad, Pegawai Daerah Saratok, Daniel Supit, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.
(Artikel ini juga telah dihantar kepada Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Negeri Sarawak pada 25 Jun 2009)