Tuesday, February 2, 2010

ADUN N.33 KALAKA RASMI ANUGERAH KECEMERLANGAN SMK ASAS 2009

Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Tn Haji Abdul Wahab Aziz melahirkan rasa bangga terhadap keputusan cemerlang SMK Agama Sri Aman (ASAS) dalam peperiksaan tahun 2009 dan mendapat tempat pertama bagi Sekolah Menengah di seluruh Bahagian Betong.

Menurut beliau bukan sahaja pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar sendiri yang berbangga jika mendapat keputusan yang cemerlang malahan pemimpin (beliau) juga akan turut berbangga.

Beliau yang juga ADUN N.33 Kalaka menjelaskan bahawa pelajar, ibu bapa dan guru perlu berganding bahu dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan menjadikan ia sebagai teras perjuangan.

Selain itu, beliau juga menyeru agar ibu bapa sentiasa memberikan dorongan dan motivasi kepada anak-anak supaya mereka sentiasa berdaya saing dalam pelajaran di sekolah dan bersemangat untuk maju.

Tambahnya lagi, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk pendidikan demi memastikan anak-anak mencapai kecemerlangan dan mendapat pendidikan sewajarnya.

Selain itu, beliau juga berharap agar masyarakat sentiasa menyokong program-program ilmu dalam usaha untuk membentuk masyarakat berilmu.

Beliau yang juga Penaung PIBG SMK ASAS turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 untuk PIBG sekolah tersebut.

Pada majlis tersebut beliau telah menyampaikan Anugerah Pelajar Harapan 2009 kepada Mohamad Zulkanain b. Sedi dan Nor Adilah Sabeni, Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2009 iaitu Siti Atikah Abdullah yang telah mendapat 9A, (lima orang mendapat 8A, 9 orang 7A dan 4 orang 6A) Anugerah Permata Pintar (Nur Azmina Bedian) , Anugerah Khas Program Nilam (Noradila Hamry) Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang Ko-kurikulum 2009, Anugerah Hal Ehwal Murid 2009, Anugerah Pelajar Cemerlang seluruh Tingkatan, dan Anugerah Cemerlang mengikut Mata Pelajaran.

Hadir sama ialah Pengetua Kanan SMK ASAS, Haji Mahusain Haji Ismail, YDP PIBG, Sani Mentaril dan Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Daud Mohamad dan wakil Pegawai Daerah Saratok , SAO Laga.


foto akan diupload kemudian


No comments:

Post a Comment